Thursday, 16 June 2016

Masa Mira jadi Jurutera Jalan dulu... selalu akan ada banyak permohonan untuk membina bonggol di jalan. Baru-baru ni pun dalam mesyuarat pengurusan Mira di minta untuk memasang bonggol dalam kampus. Adoi...honestly Mira memang tak sukakan bonggol. Sebab utamanya ia boleh rosakkan kereta...huhuhu... sapa tak sayang kereta oooo...dan lagi satu sebabnya ia melambatkan mira untuk tumbprint kalau dah lambat...hehehe


Info di bawah ni Mira copy dari : http://blogjalanraya.blogspot.my/ 

Untuk pengetahuan semua, lebih 95% bonggol yang didirikan di negara ini adalah hasil kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukannya JKR. JKR sangat jarang mendirikan bonggol kerana kebanyakan jalan raya kendalian JKR (jalan persekutuan dan negeri) mempunyai had laju operasi 90 km/j. Hanya sebilangan kecil sahaja bonggol yang dibina di jalan-jalan JKR, yang mana kebanyakannya hasil permintaan penduduk tempatan sebagai usaha menghalang kenderaan daripada memandu laju di kawasan mereka bagi mengurangkan nahas jalan raya di situ. Contohnya ialah pemasangan bonggol di Jalan Felda Redong yang dilaksanakan oleh JKR Segamat hasil permintaan para penduduk Felda Redong serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Dato' Ayub Rahmat, susulan rungutan para penduduk serta peneroka Felda Redong tentang lori-lori berat yang memandu laju di situ berikutan siapnya Jalan Redong-Selancar yang merupakan laluan pintasan baharu bagi pengguna jalan raya dari arah Labis yang ingin memintas bandar Segamat untuk ke Lebuhraya Tun Razak FT12.

Kenapa bonggol dipasang...? Bonggol jalan merupakan sejenis penanda jalan mekanikal yang berfungsi bagi tujuan peredaan trafik. Ia berfungsi bagi memperlahankan kenderaan terutamanya di jalan-jalan perumahan ataupun di kawasan yang mempunyai ramai pejalan kaki yang terdiri daripada kanak-kanak seperti di sekolah. Ia sering didapati di kawasan yang dikenakan had laju 40 km/j ke bawah, seperti di jalan-jalan tempatan di kawasan perumahan, di sekolah, di masjid, di kawasan kampus universiti dsb. 



Bonggol berfungsi dengan cara memaksa pemandu untuk memperlahankan kelajuan apabila melaluinya; jika pemandu tidak memperlahankan kelajuan, ia akan menyebabkan ketidakselesaan kepada pemandu. Namun, jika pemandu melaluinya pada kelajuan yang terlalu tinggi, ia boleh mengakibatkan kenderaan melompat tinggi dan seterusnya mengakibatkan risiko kemalangan akibat hilang kawalan kenderaan, atau setidak-tidaknya boleh mengakibatkan kerosakan pada sistem gantungan, rim, takungan minyak enjin (oil sump), bahagian bawah kenderaan, kit badan, skirting dsb. Justeru, pemasangan papan tanda, jalur derum (rumble strips) serta pengecatan bonggol wajib dilakukan di bonggol.



Meskipun pembinaan bonggol terbukti berkesan menurunkan kelajuan kenderaan berhampiran bonggol, namun ia mempunyai banyak kelemahan ketara termasuklah dari aspek keselamatan sehingga menyebabkan JKR sendiri tidak menggalakkan pembinaannya. Kelemahan-kelemahan pemasangan bonggol adalah seperti berikut:-


  1. Boleh mengakibatkan kerosakan kenderaan seperti sistem gantungan, rim, bahagian bawah kenderaan, kit badan, skirting, dsb.
  2. Boleh melambatkan kenderaan kecemasan
  3. Boleh mengakibatkan kenderaan melencong ke jalan lain yang tiada bonggol, sekaligus menyebabkan kesesakan di jalan itu pula
  4. Mengakibatkan bunyi bising jalan terhadap rumah-rumah bersebelahan bonggol
  5. Memerlukan pembinaan papan tanda amaran serta penandaan bonggol yang lebih teranng
  6. Sekiranya tiada pemberitahuan, penandaan atau papan tanda amaran, boleh mengakibatkan risiko kemalangan akibat kenderaan hilang kawalan kerana pengguna jalan raya tidak tahu akan kewujudan bonggol tersebut
  7. Boleh mengakibatkan ketidakselesaan terhadap pengguna jalan raya
  8. Menjejaskan penjimatan bahan api kerana pemandu perlu membrek, menukar gear lebih rendah dan memecut semula




Manual Fasiliti Keselamatan Jalan terbitan JKR mengandungi garis panduan mengenai pembinaan bonggol



Carta alir mengenai proses kelulusan pembinaan bonggol di jalan raya kendalian JKR



Piawaian mengenai jenis bonggol serta ukuran lebar dan tinggi bonggol - sesebuah bonggol tidak seharusnya mempunyai ketinggian melebihi 75 mm


Ramai yang tidak tahu bahawa sebenarnya memang ada garis panduan mengenai bonggol yang diterbitkan oleh JKR. Garis panduan mengenai bonggol ditetapkan dalam Manual Fasiliti Keselamatan Jalan terbitan JKR. Menurut Manual Fasiliti Keselamatan Jalan, ketinggian maksimum yang dibenarkan bagi bonggol 100 mm dengan kelebaran maksimum 6 meter.Namun, ketinggian bonggol yang disarankan adalah tidak melebihi 75 mm. Semakin tinggi sesuatu bonggol itu, maka ia seharusnya semakin lebar bagi mengurangkan kesan buruknya terhadap kenderaan. Semua bonggol wajib dicat dengan warna-warna terang dan wajib dibubuh papan tanda amaran. Jika bonggol dibina di jalan-jalan JKR, maka Jurutera Daerah (JD) bertanggungjawab memantau perjalanan projek agar bonggol yang dibina memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Terdapat dua syarat utama bagi membolehkan pembinaan bonggol diluluskan:-
  1. Had laju operasi mestilah kurang daripada 90 km/j
  2. Kadar trafik purata harian (ADT) mestilah kurang daripada 6,000 kenderaan

Berdasarkan dua kriteria utama di atas, hanya jalan kampung, jalan tempatan di kawasan perumahan, jalan pengumpul serta jalan tertier sahaja yang paling sesuai untuk dibina bonggol. Namun, terdapat juga jalan raya pada tangga hirarki jalan yang lebih tinggi yang dipasang bonggol, biasanya di kawasan sekolah. Namun demikian, pemasangan bonggol di lebuh raya ekspres, lebuh raya kembar, jalan super two dan jalan raya primer adalah tidak dibenarkan sama sekali. Meskipun terdapat jalan raya kendalian JKR yang memenuhi kedua-dua kriteria di atas, namun JKR tidak menggalakkan pembinaan bonggol. Justeru, lebih 95% bonggol yang ada di Malaysia dibina oleh PBT dan bukannya JKR.

Bagaimana pula tentang bonggol-bonggol di jalan-jalan perbandaran kendalian PBT...? JD JKR tiada kuasa untuk menghalang PBT daripada mendirikan bonggol-bonggol di jalan perbandaran. Namun, JD masih berperanan untuk bersuara, menegur atau memberikan saranan dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah oleh PBT. Penduduk juga perlu menyuarakan kepada Persatuan Penduduk masing-masing, sama ada memohon untuk membina bonggol ataupun membantah pemasangan bonggol-bonggol yang tidak mematuhi spesifikasi JKR. Kepada para presiden Persatuan Penduduk, ini hukum ibu jari yang anda perlu ingat -tinggi maksimum bonggol: tidak lebih 75 mm; semakin tinggi bonggol, maka ia juga perlu semakin lebar.


Bonggol di Lintasan Pejalan Kaki 1Malaysia merupakan satu contoh ideal bagi bonggol jalan raya


Jika anda mahukan contoh bonggol jalan raya yang paling bagus dan paling ideal, maka bonggol Lintasan Pejalan Kaki 1Malaysia merupakan jawapannya. Program Lintasan Pejalan Kaki 1Malaysia merupakan inisiatif Menteri Kerja Raya terdahulu, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor sebagai satu alternatif yang lebih murah daripada pembinaan jejantas yang tentunya lebih mahal(RM150,000 vs RM750,000-RM1 juta). Lintasan Pejalan Kaki 1Malaysia terdiri daripada sebuah bonggol yang landai dan lebar yang turut berfungsi sebagai lintasan pejalan kaki serta lampu isyarat, sekaligus menjadikannya lebih selamat daripada lintasan pejalan kaki searas berlampu isyarat biasa.

Kesimpulannya, meskipun pembinaan bonggol sangat berkesan dalam memaksa pemandu memperlahankan kelajuan, namun ia boleh mengakibatkan kerosakan kenderaan ataupun kemalangan sekiranya pengguna jalan raya tidak sedar akan kewujudannya akibat ketiadaan papan tanda mahupun penandaan bonggol. Sebab itulah JKR tidak menggalakkan pembinaannya, namun PBT pula banyak membina bonggol, yang mana kebanyakannya tidak mengikut piawaian yang ditetapkan, mengakibatkan saiz bonggol yang tidak konsisten.













No comments:

Post a Comment